Apakah peranan saya di Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Perubahan Iklim (COP21) di negara Perancis?

Oleh WanJi (MYD15)

Memandangkan saya terpaksa mengikuti kursus yang berkaitrapat dengan kajian akademik pada akhir tahun ini, dukacita dimaklumkan bahawa saya tidak dapat menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Perubahan Iklim (COP21) di negara Perancis yang berlangsung dari 30 November sehingga 11 Disember 2015. Meskipun demikian, sebagai seorang delegasi belia negara (MYD), saya mempunyai peranan-peranan tertentu yang harus dilaksanakan. Peranan-peranan yang telah dikenalpasti adalah seperti berikut:

WanJi, kedua daripada kanan

WanJi, kedua daripada kanan

Pertama sekali, sebagai salah seorang delegasi yang berpusat di tanah air sepanjang persidangan tersebut, saya harus membantu memastikan hubungan komunikasi yang berterusan dan stabil daripada pihak kami di ibu negara dengan rombongan wakil delegasi ke negara Perancis sepanjang berlangsungnya persidangan selama dua belas hari itu.

Cara perhubungan yang paling mudah dan berkesan dalam peringkat antarabangsa adalah melalui perkhidmatan internet terutamanya laman media sosial, e-mel dan panggilan video. Cara-cara yang dinyatakan ini bukan sahaja efektif malah percuma dan sekaligus dapat menjimatkan bajet delegasi-delegasi.

Selain itu juga, delegasi-delegasi di Malaysia harus aktif memainkan peranan dalam membuat liputan langsung tentang persidangan COP21 dan juga menyebarkan perkembangan tersebut kepada masyarakat umum. Wakil-wakil delegasi di Paris sudah tentu kepenatan dari menghadiri persidangan, ulang-alik dari tempat penginapan ke tempat persidangan dan juga kemungkinan besar menghadapi cabaran dalam menyesuaikan diri di kawasan baru yang mempunyai budaya, bahasa, cuaca, suhu dan zon masa yang berbeza.

Tambahan pula, mereka dijangka akan sibuk membina silaturahim dengan individu-individu serta persatuan-persatuan yang berpengaruh atau berserasi dalam bidang perubahan iklim dunia. Sememangnya persidangan global yang berprestij seperti COP21 merupakan peluang keemasan untuk wakil-wakil dari negara kita untuk menambah kenalan dari seluruh dunia terutamanya mereka yang berkuasa, dan berpengalaman agar dapat membina peluang untuk bekerjasama kelak.

Akhir sekali suatu peranan yang wajib dipegang oleh setiap delegasi belia termasuk saya pada setiap ketika tanpa mengira apa jua aktiviti, adalah ‘belajar’. Saya harus membuat pemerhatian terperinci dan mempelajari sebanyak yang mungkin daripada persidangan tersebut. Dengan cara ini, secara tidak langsung, saya juga dapat menimba pengalaman yang berharga dan menaiktarafkan pengetahuan diri sendiri. Ini akan memanfaatkan MYD dan diri saya juga pada masa akan dating. Moga-moga, saya akan menjadi delegasi yang lebih bersedia untuk menghadapi persidangan yang serupa pada masa akan datang.

Translate »