Laporan Lawatan ke Parlimen Malaysia – Oktober 2015

IMG_8529

Mesyuarat Parlimen Dewan Rakyat

Semua pelawat ke Parlimen diberi taklimat mengenai peraturan asas sebelum memasuki Dewan Rakyat. Para pelawat perlu menunduk kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat semasa memasuki dan meninggalkan Dewan; sebagai pemerhati pelawat tidak dibenarkan menyoal ataupun mengambil bahagian dalam perbincangan dan perbahasan.

Sesi Soal Jawab Parlimen hari ini bermula pada 10 pagi sehingga 11.30pagi. Pembentangan tentang agenda yang telah dijadualkan mengambil tempat dahulu dalam bentuk soal jawab. Hanya ahli parlimen atau Member of Parliament (MP) yang terlibat dalam agenda-agenda tersebut diminta menghadiri mesyuarat. Dalam proses soal jawab, kita memerhatikan suasana parlimen agak hangat disebabkan ejekan antara MP.

IMG_20151026_110852

Selepas itu, perbahasan tentang usul bajet 2016 dimulakan. Didapati banyak rombongan lain yang melawat parlimen pada masa yang sama. Oleh itu, setiap rombongan hanya dibenarkan untuk mengunjungi parlimen dalam giliran sepanjang 30 minit. Malangnya, rombongan kita tidak sempat memasuki parlimen sekali lagi semasa perbahasan tentang bajet kerana tempat duduk pemerhati telah dipenuhi. Selain itu, pihak media mempunyai ruang khas di luar parlimen untuk mereka menyaksi dan melapor persiaran langsung mesyuarat parlimen. Kita berpeluang menyaksikan satu persidangan media yang dianjurkan oleh pihak pembangkang.

IMG_20151026_133745

Sesi makan dan perbualan dengan YB Ong Kian Ming

Kita bertemu dengan YB Ong Kian Ming untuk sesi perbualan. YB Ong adalah MP kawasan Serdang dan juga jurucakap alam sekitar bagi parti DAP. Beliau memberi informasi ringkas kepada kita tentang kementerian-kementerian di Malaysia yang terlibat dalam perubahan iklim and alam sekitar, iaitu Kementerian Sumber Ali dan Alam Sekitar (NRE), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dan Kementerian Kesejahteraan, Bandar, dan kerajaan tempatan.

Sepatutnya NRE merupakan kementerian yang bertanggungjawab untuk memimpin dan meyelaraskan sebarang perbincangan tentang alam sekitar dan perubahan iklim antara semua kementerian, tetapi keadaan sebenar bukannya sedemikian. YB Ong menerangkan bahawa alam sekitar dan perubahan iklim masih bukan keutamaan dalam agenda nasional. Interaksi antara kementerian yang tidak cekap juga menyebabkan perancangan dan pelaksanaan kurang memuaskan.

Selain itu, YB Ong menyatakan pandangan beliau tentang penyerahan INDC dari kerajaan Malaysia. Oleh kerana Malaysia merupakan negara yang hampir mencapai status negara maju, kita perlu memberi komitmen yang lebih tinggi daripada negara membangun yang lain. Saya setuju pada pandangan tersebut bahawa Malaysia sepatutnya melakukan lebih banyak secara sukarela tetapi bukan bergantung semata-matanya kepada permindahan teknologi dan kewangan dari negara maju.

YB Ong menawarkan nasihat kepada MYD bahawa kita perlukan bacaan dan penyelidikan yang lebih menyeluruh terutamanya maklumat tentang konteks Malaysia. Dengan ini, kita akan jadi lebih yakin tentang soalan atau isu yang sesuai dan penting untuk dinyatakan kepada pasukan rundingan Malaysia di COP21.

Laporan disediakan oleh Emily Oi (MYD15)

Translate »