Pemisahan Dasar Persekutuan dan Negeri Merencat Pengurusan Alam Sekitar

By WanJi (MYD15)

Perkataan “alam sekitar” mempunyai asal usal dari bahasa Perancis : “environner” yang bermaksud “untuk meliputi”. Sepanjang masa manusia mempelajari tentang alam sekitar, pelbagai pengertian untuk terma ini telah diutarakan, baik daripada pakar saintis terkemuka mahupun para sasterawan.

Pengertian yang dipilih adalah bergantung kepada penggunaannya ataupun bidang kajian yang ingin dibincangkan (MoSTE, 1998). Misalnya dalam artikel ini, alam sekitar merujuk kepada semua jenis keadaan, pengaruh, sekeliling dan organisma semulajadi yang menyelubungi populasi manusia. Oleh itu, alam sekitar boleh diklasifikasikan kepada dua aspek iaitu biotik dan abiotic (Hezri & Dovers, 2006).

Aspek biotik merangkumi spesis-spesis hidupan haiwan, tumbuhan dan microorganisma manakala aspek biotik pula termasuk suhu, cuaca, kelembapan, kadar kimia tanah dan lain-lain lagi. Alam sekitar harus dikendali dan diurus dengan baik dan bijak agar mampu membawa manfaat kepada manusia dari segi produk langsung ( balak, hasil laut, hasil tanaman, dan lain-lain) atau dalam bentuk sumbangan perkhidmatan ekologi yang menampung kehidupan semua spesis di muka bumi.

Artikel ini akan membincangkan sedikit sebanyak mengenai halangan yang sukar dielakkan dalam pengurusan alam sekitar kesan pengamalan sistem federalisme dalam pemerintahan negara di mana terdapat pemisahan kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri (Wee,2011). Dalam perlembagaan Malaysia, pembahagian kuasa antara kedua-dua peringkat kerajaan tersebut jelas tercatat dalam senarai persekutuan, senarai negeri dan senarai bersama (MoSTE, 1998).

Aspek-aspek pengurusan alam sekitar yang efektif melibatkan tiga aspek yang utama iaitu aspek pengurusan, perancangan dan pengawalan. Aspek-aspek ini dapat dibahagikan seperti berikut (MoSTE, 1998):

  • Struktur Organisasi Kerajaan.
  • Perundangan Alam Sekitar.
  • Perancangan Alam Sekitar : Kaji-Selidik
  • Penggubalan polisi-polisi dan strategi pengendalian alam sekitar Perancangan gunatanah dan kawalan Penilaian Kesan Persekitaran (EIA – Environmental Impact Assessment)
  • Kawalan Pencemaran dan Penguatkuasaan.
  • Penyertaan dan Kesedaran Awam.

Meskipun keenam-enam aspek yang dihuraikan mustahak dan harus diberi perhatian bersama, wujudnya halangan daripada pemisahan tanggungjawab oleh dua peringkat kerajaan. Ini disebabkan aspek-aspek tersebut terbahagi dibawah dua kuasa kerajaan yang berlainan peringkat (Hezri & Dovers, 2006) Hubungan Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri yang diikat melalui perlembagaan negara seringkali terjejas dengan keperluan kerajaan masing-masing untuk menampung kepentingan bersaing. Ini semakin rumit apabila kerajaan-kerajaan negeri ditadbir oleh parti politik yang berbeza daripada kerajaan persekutuan (Hills et al, 2013). Contohnya selepas pilihanraya awam 2008, kerajaan persekutuan membuat pembaharuan kepada sistem peruntukkan pembiayaan pembangunan yang menganak-tirikan empat buah negeri yang ditadbir oleh parti politik Pakatan Rakyat (Kedah, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang).

Malaysia_Federal_and_State_Legislative_Powers

Perjanjian pelbagai hala alam sekitar, kewangan, cukai, pendidikan, kaji selidik dan penyelidikan serta polisi-polisi yang berkaitan dengan alam sekitar secara umunya merupakan bidang kuasa kerajaan persekutuan, namun perkara yang berkaitan soal gunatanah untuk pertanian, pengurusan hutan, sungai, terusan, perlindungan penyu dan perikanan adalah tertakhluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri (Wee, 2011). Walaupun cara penyelesaian yang paling jelas adalah dengan usaha integrasi dari kedua-dua kerajaan namun dalam beberapa dekad ini, usaha tersebut masih kurang dilihatkan, malah badan-badan untuk  menyepadukan kedua-dua kerajaan ini juga tidak kelihatan (Hills et al, 2013).

Dalam kajian kes pertama, negeri Kelantan yang ditadbir oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) semenjak tahun 2008 menerima peruntukkan yang berkurangan daripada Kerajaan Persekutuan. Untuk  meningkatkan pendapatan negeri, kerajaan negeri Kelantan telah menggandakan pengusahaan hasil hutan dan tahun 2008 menandakan pembalakkan di kawasan hutan yang dibenarkan yang paling tinggi dari segi keluasan per segi. Ini jelas mempamerkan bukti-bukti konkrit yang menyimpulkan bahawa alam sekitar mendapat impak negatif apabila kerajaan negeri yang kekurangan peruntukkan membuat keputusan untuk menjana pendapatan melalui sumber alam sekitar (Hills et al, 2013).

Dalam kajian kes yang kedua, kerajaan negeri Selangor dan kerajaan persekutuan mencetuskan konflik yang merencatkan pengurusan salah satu sumber alam kitar yang paling penting, iaitu air (Hezri & Hassan, 2004).  Asset air merupakan tanggungjawab dalam senarai bersama. Di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, agensi kerajaan persekutuan dibenarkan memperoleh segala aset yang berkaitan dengan perkhidmatan air dan aset-aset tersebut akan dipajak semula kepada operator industry air. Ini bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri untuk membiayai  pelaburan asset perkhidmatan air yang sangat tinggi nilainya (RMK-1o, 2011-2015). Namun pengendalian perkhidmatan air terencat apabila kedua-dua belah kerajaan mempunyai pelan yang berbeza dalam pengstrukturan semula perkhidmatan air sehingga terjadinya persengketaan yang membantutkan kerjasama kedua-dua kerajaa terbabit (Hezri & Hassan, 2004).

Penyertaan dan kesedaran awam merupakan aspek yang sangat kritikal dalam pengurusan alam sekitar. Ini adalah kerana alam sekitar adalah milik bersama dan setiap ahli masyarakat harus mempunyai kesedaran dan penyertaan dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar. Dalam suatu kajian yang dilakukan oleh WWF-Malaysia, daripada 6090 orang responden,  3475 orang (57%) tidak mempunyai kesedaran mengenai isu-isu alam sekitar seperti banjir kilat , jerebu, dan lain-lain lagi (Hills et al, 2013). Mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang fackor berlakunya kejadian-kejadian tersebut atau cara-cara mengatasinya. Lebih menyedihkan, kajian yang sama turut menunjukkan bahawa responden yang mempunyai kesedaran tentang alam sekitar tidak semestisnya menunjukkan sikap yang positif terhadap alam sekitar (Hills et al, 2013).

Sikap masyarakat umum yand kurang peka terhadap isu-isu alam sekitar amat memerlukan kempen kesedaran, pendidikan serta sokongan yang kuat dari pelbagai pihak. Namun peranan mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat umum mengenai isu-isu dan penjagaan alam sekitar dipikul oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti WWF- Malaysia, Malaysia Nature Society (MNS), dan lain-lain lagi. Sebab-sebab kedua-dua kerajaan kurang memainkan peranan dalam aspek kesedaran awam dibandingkan dengan NGO tidak dapat dikenalpasti. Namun tanpa penenkanan dan penyertaan sepenuh hati dari pihak kerajaan, pendidikan mengenai alam sekitar mungkin dianggap remeh atau tidak penting oleh masyarakat setempat (Hills et al, 2013).

Kesimpulannya, dasar pemisahan pentadbiran antara kerajaan persekutuan dengan Kerajaan Negeri seringkali merumitkan pengurusan alam sekitar, lebih-lebih lagi apabila melibatkan parti politik yang berbeza. Kepentingan politik menyebabkan kedua-dua peringkat kerajaan menghadapi cabaran untuk bekerjasama. Kerajaan secara umumnya lebih cenderung kepada kegiatan ekonomi dan isu peruntukkan kewangan merupakan isu yang sensitif dan sukar diramal. Pengendalian alam sekitar pula memerlukan kos yang tinggi dan tidak memberikan pulangan dalam bentuk kewangan dalam jangka masa pendek (Hezri &Hassan,2004). Meskipun demikian, masih terdapat harapan untuk sistem pengurusan alam sekitar yang lebih telus dan efektif untuk negara ini.

 

Rujukan:

Hezri,A.A. and Dovers, S.R. (2006) ‘ Sustainability indicators, policy and governance: issues for ecological economics’, Ecological Economics, 60:86-99

Hezri, A.A. and Hasan M.N. (2004) ‘Management  framework for sustainable development indicators in the state of Selangor, Malaysia’, Ecological Indicators, 4:287-304

Hill, H., Tham Siew Yean, and Ragayah Haji Mat Zin (2013) Malaysia’s Development Challenges: Graduating from the Middle. Routledge Publisher.

Malaysia (2010). Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK-10), 2011-2015. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad

MoSTE (1998). National Policy on Biological Diversity. Kuala Lumpur: Ministry of Science, Technology and Environment.

Wee, C.H. (2011). Federal-State Relations in Natural Resources Management. dlm. ISIS (pnyt.). Malaysia Policies and Issues in Economic Development, 559-576. Institute of Strategic and International Studies (ISIS).

Translate »