Ucapan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar in COP20

Datuk Seri G. Palanivel delivering the speech - video & full text below

Datuk Seri G. Palanivel di COP20 Lima, Peru

UCAPAN YANG BERHORMAT MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR DI SEGMEN PERINGKAT TINGGI SEMASA COP20/CMP10

Tuan Presiden, Para Perwakilan, Tuan-tuan, dan Puan-puan,

Delegasi Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Peru di atas layanan mesra yang diberikan kepada kami di bandar Lima yang bersejarah dan indah ini.

Tuan Presiden,

2. Perubahan iklim merupakan isu yang paling penting di zaman kita. Kita memerlukan tindakan yang mantap dan berani hari ini, untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan membina ketahanan dari segi usaha mitigasi. Laporan Penilaian Kelima oleh “Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim” (IPCC) menyatakan dengan jelas bahawa keperluan adaptasi akan meningkat dalam tahun yang akan datang, dan menyebabkan kos adaptasi yang bertambah untuk semua negara.

Tuan Presiden,

3. Malaysia telah menggubal dan melaksanakan Dasar Perubahan Iklim Negara dan Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan. Kami telah melaksanakan Akta Tenaga Boleh Diperbaharui sejak 2011 dengan mekanisma pembiayaan (Feed-in-Tariff) untuk menggalakkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia. Kami telah menggubal Dasar Sumber Air Negara untuk mengintegrasikan usaha mitigasi dan adaptasi ke atas pengurusan sumber air dan membangunkan peta jalan untuk mengenalpasti pilihan-pilihan mitigasi yang berpotensi sehingga 2030. Kami juga telah mewartakan rizab hutan baru, bagi menunjukkan komitmen Malaysia terhadap ikrar yang telah dibuat 22 tahun lalu di Sidang Kemuncak Bumi Rio.

4. Dengan tujuh keputusan yang diambil dalam perbincangan REDD+ di Warsaw, saya dengan sukacitanya memberitahu bahawa Malaysia telah mengemukakan tahap rujukan untuk penilaian teknikal dalam konteks bayaran berdasarkan keputusan pada Hari REDD+ yang dianjurkan oleh Kerajaan Peru dan UNFCCC. Ini adalah langkah pertama Malaysia ke arah melaksanakan REDD+. Tahap rujukan ini telah dibangunkan dengan dana negara kami yang terhad kerana kami komited untuk mengurangkan pelepasan daripada aktiviti perhutanan.

5. Kami bersungguh-sungguh dalam menangani isu-isu berkaitan perubahan iklim dan mampu melakukan lebih sekiranya bantuan kemudahan dalam bentuk dana iklim, pemindahan teknologi dan pembangunan keupayaan dapat dipertingkatkan lagi.

6. Sepertimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri kami di Sidang Kemuncak Iklim 2014 di New York baru-baru ini, kami telah berjaya mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 33%. Dan kami berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran kami untuk mengurangkan intensiti karbon sebanyak 40% menjelang tahun 2020.

7. Malaysia telah menunjukkan bahawa ekonomi kami boleh berkembang di samping penurunan intensiti pelepasan. Walaubagaimanapun, perkara ini telah dicapai tanpa dana dan pemindahan teknologi yang diperlukan daripada negara-negara maju seperti yang telah dijanjikan di bawah Konvensyen (UNFCCC). Perkara ini telah memaksa Malaysia mengagihkan sumber negara yang terhad di antara pembasmian kemiskinan, pembangunan mampan, perlindungan alam sekitar, adaptasi dan langkah-langkah mitigasi.

8. Terutamanya, apabila adaptasi perubahan iklim, menjadi perkara yang makin menelan perbelanjaan yang besar. Malaysia telah membelanjakan sebanyak 2.6 billion USD dalam dekad yang lepas bagi menangani kejadian banjir yang lebih kerap. Ini adalah sumber yang boleh kami gunakan dalam industri hijau atau digunakan untuk memperlahankan kadar perubahan iklim.

Tuan Presiden,

9. Setakat mana yang berkaitan dengan Intended Nationally Determined Contributions , Malaysia mengambil pendekatan yang menyeluruh, selaras dengan Prinsip (Principles), Peruntukan (Provisions) dan Lampiran (Annexes) Konvensyen (UNFCCC), yang menangani semua elemen yang dikenalpasti dalam keputusan 1/CP.17, iaitu Adaptasi, Mitigasi, Dana, Pembangunan dan Pemindahan Teknologi, Pembangunan Keupayaan, dan Ketelusan Tindakan dan Sokongan.

10. Dengan berbuat demikian, walaubagaimanapun, Malaysia mengulangi keperluan untuk mengutamakan adaptasi, di samping keperluan untuk penjelasan yang mendalam dan cita-cita, dalam perangkaan cara-cara untuk melaksanakan adaptasi dan mitigasi bagi membolehkan pihak seperti Malaysia membuat sumbangan yang rasional dan berwawasan dalam perjanjian 2015.

Tuan Presiden,

11. Seperti yang sebelum saya, saya mengakhiri ucapan saya di Lima dengan seruan untuk proses yang telus dan menyeluruh dan satu keputusan yang dipersetujui oleh semua pihak bagi mencerminkan keadilan dan kesamaan namun dengan tanggungjawab yang berbeza, dengan cita-cita yang tinggi bagi melindungi mereka yang lemah dan terdedah. Saya berharap pengajaran daripada perbincangan (COP) sebelum ini dapat membimbing proses pada kali ini agar sebuah perjanjian yang boleh diterima oleh semua pihak dapat dicapai.

Click here to read the full speech in English and recorded video

Terima kasih.

Datuk Seri G. Palanivel
Menteri Sumber Asli & Alam Sekitar (Minister of Natural Resources & Environment)
President Malaysian Indian Congress (MIC)
Ahli Parlimen Cameron Highlands

Diterjemhkan oleh Nur Anisah

Translate »